KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meminta semua pihak menghentikan polemik berhubung penganjuran Rain Rave Water Music Festival yang berlangsung sehingga 2 Mei ini.
Menurutnya, setiap program yang dianjurkan tidak seharusnya dijadikan bahan politik sehingga menjejaskan usaha merancakkan ekonomi serta industri pelancongan negara.
“Jangan semua perkara hendak dipolitikkan. Kalau semua benda mahu dijadikan isu politik, bagaimana kita mahu bangunkan ekonomi negara?” katanya selepas merasmikan festival berkenaan malam tadi.
King Sing berkata, acara seumpama itu turut memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan termasuk usahawan makanan dan minuman yang terlibat sepanjang festival berlangsung.
“Cuba tanya para peniaga, mereka gembira atau marah dengan program seperti ini? Tanya juga rakyat yang hadir,” katanya.
Beliau berkata, festival itu dianjurkan sempena cuti Hari Pekerja bagi memberi ruang kepada orang ramai khususnya golongan pekerja beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga serta rakan-rakan.
Dalam masa sama, King Sing menafikan dakwaan kononnya festival berkenaan meniru sambutan Songkran di Thailand.
Katanya, Rain Rave hanyalah festival muzik bertemakan air dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang unsur keagamaan atau kebudayaan luar.
“Program ini bukan Songkran. Orang nampak air terus anggap Songkran, sedangkan ia hanya konsep festival muzik,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kehadiran ke program tersebut adalah pilihan individu dan tidak wajar dijadikan isu berlebihan.
“Kalau rasa sesuai untuk hadir, datanglah. Jika merasakan agama tidak membenarkan, maka tidak perlu hadir,” katanya.
Mengulas soal keselamatan, King Sing berkata pihak polis ditempatkan di lokasi festival bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terkawal.
Tegasnya, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti menyalahi undang-undang termasuk penyalahgunaan dadah atau alkohol.
“Kita sudah minta pihak polis jalankan tugas mereka. Jika ada yang ambil dadah atau melanggar undang-undang, tangkap sahaja. Kita tiada masalah dengan tindakan itu.
“Program ini dianjurkan untuk rakyat, jadi keselamatan pelancong dan pengunjung tempatan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dilaporkan menyuarakan bantahan terhadap festival tersebut kerana dikhuatiri boleh menjejaskan nilai moral dan keharmonian sosial. -MalayaDailyToday


























































