PUCHONG – Seorang kanak-kanak perempuan berjaya diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas dipercayai tersangkut pada gelung permainan dalam kejadian di Masjid Kampung Sri Aman, di sini, semalam.
Menurut perkongsian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong di Facebook, pasukan bomba dari Pasukan C bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati seorang kanak-kanak perempuan Melayu tersangkut pada gelung permainan.
“Anggota bertindak mengangkat badan kanak-kanak tersebut sebelum berjaya mengeluarkannya dengan selamat,” menurut kenyataan itu.
Mangsa kemudiannya diserahkan semula kepada ibunya dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan. -MalayaDailyToday































































