KUALA LUMPUR – DAP Socialist Youth (DAPSY) mempertahankan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan kad pemantauan pesakit denggi dalam bahasa Cina di sebuah klinik kerajaan dengan menyifatkan pendekatan itu mencerminkan profesionalisme dan realiti masyarakat majmuk di negara ini.
DAPSY Kebangsaan berkata, tindakan KKM menjawab isu berkenaan secara rasional dan mengutamakan keperluan pesakit wajar dipuji, terutama apabila kementerian itu tetap mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menurut sayap pemuda Democratic Action Party (DAP) itu, penggunaan bahasa tambahan dalam sektor kesihatan tidak seharusnya dijadikan polemik politik kerana matlamat utama petugas perubatan ialah memastikan pesakit memahami maklumat kesihatan dengan tepat.
“Dalam soal kesihatan dan keselamatan nyawa, bahasa sepatutnya menjadi jambatan komunikasi, bukannya tembok yang menghalang pesakit menerima rawatan,” menurut kenyataan itu hari ini.
DAPSY berkata, majoriti rakyat Malaysia sememangnya mampu bertutur dalam Bahasa Melayu, namun terdapat segelintir warga emas yang kurang fasih menggunakan bahasa kebangsaan terutama membabitkan istilah perubatan moden.
Katanya, faktor latar belakang pendidikan dan sejarah kehidupan menyebabkan ada golongan warga emas lebih mudah memahami penerangan dalam bahasa ibunda masing-masing.
Menurut kenyataan itu, pendekatan menggunakan pelbagai bahasa dalam sektor kesihatan bukan perkara baharu malah pernah digunakan secara meluas ketika pandemik COVID-19 bagi memastikan proses saringan dan rawatan berjalan lancar.
“Kerajaan ketika itu turut menggunakan sukarelawan pelbagai bahasa untuk membantu komunikasi dengan masyarakat. Jadi, dakwaan bahawa penggunaan bahasa lain mencabar kedudukan Bahasa Melayu adalah tidak berasas,” katanya.
DAPSY turut menegaskan kedudukan Bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan, pentadbiran dan pendidikan negara kekal kukuh serta tidak pernah dipertikaikan.
Bagaimanapun, mereka menyifatkan tindakan sesetengah pihak yang memainkan isu penggunaan bahasa tambahan di klinik kerajaan sebagai retorik politik yang tidak membantu petugas kesihatan.
“Ancaman sebenar terhadap Bahasa Melayu bukanlah sekeping kad tambahan dalam bahasa Cina di klinik kerajaan, tetapi sikap segelintir ‘polis bahasa’ yang terlalu taksub memainkan sentimen politik tanpa memahami realiti di lapangan,” katanya.
Sehubungan itu, DAPSY menggesa pihak yang mengkritik isu berkenaan supaya turun padang melihat sendiri cabaran dihadapi petugas kesihatan kerajaan yang kini berdepan beban kerja tinggi dan kekurangan tenaga kerja. -MalayaDailyToday






























































