KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuh sektor pelancongan negara terus diperkasa apabila sejumlah 27 penerbangan antarabangsa baharu bakal diperkenalkan tahun ini, dengan lebih 100 penerbangan tambahan ke destinasi utama di seluruh Malaysia.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing, daripada jumlah tersebut, 12 laluan telah pun mula beroperasi sejak awal tahun ini, menjadikan sambungan udara ke Malaysia semakin kukuh terutama dalam konteks strategi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Daripada keseluruhan laluan yang disahkan, 16 merupakan penerbangan berjadual manakala 11 lagi adalah penerbangan sewaan khas. Kesemuanya merupakan laluan terus ke dan dari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan menerusi laman rasmi Facebook beliau.
Tiong memaklumkan, sebahagian besar laluan ini melibatkan pasaran China dengan 8 penerbangan berjadual dan 11 laluan sewaan khas telah dirancang — termasuk ke bandar-bandar berskala sederhana dan kecil seperti Wenzhou, Tunxi dan Shijiazhuang.
“Ini sebahagian daripada strategi TMM2026 yang memberi tumpuan kepada sambungan terus ke lebih banyak bandar bertaraf kedua dan ketiga di China, bagi menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia,” jelasnya.
Antara laluan yang bakal dilancarkan termasuk penerbangan sulung China United Airlines dari Wenzhou ke Kuala Lumpur yang dijadualkan bermula pada 30 Jun ini. Dua laluan lain ialah antara Xi’an dengan Kuala Lumpur dan Urumqi dengan Kuala Lumpur telah mula beroperasi sejak Februari menerusi syarikat China Eastern Airlines dan China Southern Airlines.

Menariknya, laluan-laluan ini bukan sahaja menyokong pertumbuhan sektor pelancongan umum, malah dilihat memperkukuh inisiatif pelancongan mesra Muslim. Malaysia turut dijangka muncul sebagai hab transit utama bagi jemaah haji dan umrah dari rantau Asia Timur.
Sehingga akhir Mac, sebanyak 12 laluan antarabangsa baharu telah mula beroperasi, menjana lebih 100 penerbangan tambahan ke negara ini. Daripada jumlah tersebut, 11 melibatkan sambungan langsung dari China termasuk empat laluan sewa khas yang diperkenalkan sempena perayaan Tahun Baharu Cina lalu.

“Penerbangan ini menawarkan sambungan terus ke destinasi pelancongan utama seperti Tawau, Kota Kinabalu, Kuching dan Langkawi,” kata Tiong.
Sepanjang kemuncak musim Tahun Baharu Cina, penerbangan tambahan ini mencatat kapasiti maksimum mingguan sehingga 3,024 penumpang sekaligus menjadi satu pencapaian yang dilihat sebagai suntikan penting kepada pemulihan dan pertumbuhan semula sektor pelancongan pasca pandemik.

Dengan perkembangan ini, Malaysia dijangka terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama serantau, selaras dengan sasaran kerajaan menjelang TMM2026. -MalayaDailyToday