SANDAKAN – Kerajaan Sabah bertindak pantas menyalurkan bantuan kecemasan kepada mangsa kebakaran besar di Kampung Bahagia, Batu Sapi yang memusnahkan hampir 1,000 rumah, Ahad lalu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beliau turun padang meninjau sendiri keadaan mangsa selain menyampaikan bantuan di Dewan PPR Batu Sapi, hari ini.
“Kebakaran ini antara yang terbesar pernah berlaku di kawasan ini, dengan hampir keseluruhan kampung musnah,” katanya.

Sebagai bantuan awal, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) menerima RM2,000 merangkumi RM1,000 daripada kerajaan negeri dan RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah.
Beliau berkata, bantuan itu diharap dapat meringankan beban mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda.
Selain kerajaan negeri, Pusat Zakat Sabah serta Perbadanan Baitulmal Sabah turut menyalurkan sumbangan kepada mangsa terjejas.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata tahap kemusnahan di kawasan itu amat serius dengan hampir keseluruhan penempatan hangus.
Katanya, kawasan berkenaan sebelum ini merupakan penempatan pelarian di bawah UNHCR sebelum dikosongkan, dan kerajaan bercadang membangunkannya sebagai perkampungan sah.

Menurutnya, laporan lengkap jumlah sebenar mangsa dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu.
“Maklumat awal menunjukkan kira-kira 70 peratus mangsa adalah bukan warganegara, manakala 30 peratus rakyat Malaysia.
“Namun bantuan tetap diberikan kepada semua tanpa mengira status,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri sedang meneliti cadangan pembangunan semula termasuk menimbus kawasan berkenaan bagi pembinaan perumahan baharu.
“Cadangan ini melibatkan kos yang besar, jadi kita akan tunggu laporan penuh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan serta pandangan Majlis Perbandaran Sandakan sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Setakat ini, enam pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa.
Hajiji menegaskan kerajaan negeri komited memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara selain mencari penyelesaian jangka panjang terbaik untuk penempatan semula mereka. -MalayaDailyToday



























































