PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melihat pelancaran laluan baharu Bangkok–Kuala Lumpur oleh Thai Vietjet Air sebagai pemangkin penting dalam memperkukuh keterhubungan udara serta merancakkan aliran pelancong antara Malaysia dan Thailand.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, laluan terus dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi ke Kuala Lumpur yang dijangka bermula Ogos ini akan menawarkan pilihan perjalanan lebih fleksibel selain meningkatkan kapasiti penerbangan dua hala.
Menurutnya, kekerapan penerbangan dijangka ditambah secara berperingkat bergantung kepada permintaan pasaran, termasuk potensi sehingga dua penerbangan sehari pada masa hadapan.
“Ketika ini, terdapat kira-kira 300 penerbangan mingguan antara Malaysia dan Thailand dengan lebih 56,000 tempat duduk, namun dari segi permintaan keseluruhan, masih terdapat ruang besar untuk diperluaskan,” katanya dalam satu kenyataan susulan lawatan kerjanya ke Bangkok.
Tiong berkata, Thailand kekal sebagai antara pasaran pelancongan utama di rantau ini dengan jumlah pelancong mencecah antara 10 hingga 20 juta orang setahun, justeru Malaysia perlu meningkatkan usaha untuk menarik bahagian pasaran tersebut.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar pembangunan laluan penerbangan tidak hanya tertumpu kepada Kuala Lumpur sebagai pintu masuk utama, sebaliknya diperluaskan ke Sabah dan Sarawak bagi mewujudkan konsep pelbagai pintu masuk.
“Selain itu, sambungan terus antara bandar di utara Thailand seperti Chiang Mai dan Chiang Rai dengan Malaysia juga wajar diperkukuh kerana kawasan ini mempunyai potensi besar dalam pelancongan budaya, keagamaan dan alam semula jadi,” katanya.
Pada masa sama, Tiong berkata, Thai Airways memaklumkan permintaan bagi laluan Bangkok–Kuala Lumpur kekal stabil dengan kadar muatan yang baik, sekali gus menunjukkan asas pasaran yang kukuh.
Menurutnya, sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh, Thai Airways mempunyai kelebihan dalam segmen pelancong premium, perniagaan serta transit jarak jauh yang mampu menyokong perkembangan laluan berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata Tourism Malaysia akan memperkukuh kerjasama dengan syarikat penerbangan dan agensi pelancongan melalui strategi pemasaran bersama serta pembangunan produk pelancongan bagi mengukuhkan asas pasaran.
“Laluan penerbangan bukan sekadar penghubung pengangkutan, tetapi asas penting dalam memudahkan pergerakan manusia, modal serta perbelanjaan pelancongan.
“Melalui kerjasama berterusan dengan pemain industri penerbangan serantau, Malaysia akan terus memperkukuh peranannya sebagai hab dalam rangkaian penerbangan Asia Tenggara,” katanya. -MalayaDailyToday



























































