KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tunangnya, Bella Astillah mengadakan pertemuan hampir dua jam bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bagi mendapatkan nasihat persediaan melangkah ke alam perkahwinan.
Menerusi hantaran di platform Threads hari ini, Syed Saddiq berkata kunjungan mesra itu turut bertujuan menyerahkan secara rasmi kad jemputan majlis pernikahan mereka yang dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober depan di Menara Merdeka Maybank.
Beliau menyifatkan isteri Perdana Menteri itu sebagai figura tepat untuk memberikan pandangan mengenai kesetiaan dan pengorbanan dalam rumah tangga berdasarkan ketabahan beliau mengimbangi peranan politik serta keluarga.
“Kunjungan ini adalah untuk mendapatkan nasihat berhubung nilai kesetiaan dan pengorbanan berasaskan pengalaman beliau mendepani pelbagai cabaran,” kata Syed Saddiq.
Pasangan yang mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu itu akan disatukan sebagai suami isteri menerusi majlis berkonsepkan warna putih dan sentuhan elemen Islamik. -MalayaDailyToday





























































