KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan sebanyak 4,289 kes salah laku buli membabitkan murid sekolah dan asrama di seluruh negara bagi tempoh Mac hingga Ogos lalu, dengan kes buli fizikal mencatatkan angka tertinggi.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, daripada keseluruhan jumlah berkenaan, sebanyak 2,480 kes melibatkan buli fizikal, diikuti 1,386 kes buli lisan, 243 kes buli bukan lisan, serta 180 kes buli siber.
“KPM memandang serius setiap kejadian buli yang membabitkan murid, sama ada di sekolah mahupun di asrama,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berhubung perangkaan kes buli di sekolah dan asrama sejak Akta Antibuli 2026 berkuat kuasa serta penambahbaikan pemantauan asrama susulan pendedahan dalam inkues kematian arwah Zara Qairina.
Fadhlina menegaskan bahawa kementerian terus memperkukuh pendekatan menangani gejala berkenaan secara menyeluruh merangkumi penguatkuasaan, pengawasan persekitaran, perlindungan mangsa, intervensi psikososial, dan pembentukan karakter murid.
Bagi memperketat pengawasan fizikal di asrama sekolah, KPM telah melaburkan RM3 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 200 sekolah berasrama pada 2025, sebelum meneruskannya di 333 sekolah berasrama tahun ini dengan peruntukan RM5 juta.
Beliau menambah, Fasa 3 program berkenaan pada 2027 bakal melibatkan peruntukan RM15 juta untuk memperluas pemasangan CCTV ke 1,000 buah sekolah berasrama di seluruh negara.
“Setiap aduan perlu diberikan perhatian sewajarnya, disiasat mengikut tatacara yang ditetapkan dan diikuti dengan tindakan serta intervensi yang bersesuaian,” katanya.
Tambah Fadhlina, pengawasan oleh warga sekolah dan kepekaan terhadap perubahan tingkah laku murid kekal sebagai elemen penting keselamatan.-MalayaDailyToday






















































