ROM – Sekolah-sekolah di seluruh Itali menerima ancaman bom buat hari kedua berturut-turut pada Khamis dalam insiden yang disyaki kerajaan sebagai satu cubaan palsu.
Media melaporkan kira-kira 1,800 sekolah di negara itu menerima ancaman tersebut semalam, sehari selepas ratusan sekolah di Itali dan beberapa lokasi lain di Eropah termasuk Perancis berdepan ugutan serupa.
Susulan itu, kerajaan Itali menasihatkan pihak pengurusan sekolah supaya tidak melakukan pemindahan tanpa ‘bukti kukuh’ yang menunjukkan ancaman terbabit mendatangkan bahaya sebenar.
Bagaimanapun, beberapa sekolah di Perancis terpaksa dikosongkan sebagai tindak balas terhadap ugutan berkenaan, manakala Presidennya, Emmanuel Macron memberi amaran bahawa terlalu awal untuk menentukan sama ada kejadian itu didalangi ‘kuasa asing’.
Sebuah stesen kereta api di Calais, Perancis turut menjadi sasaran ancaman bom sehingga mengakibatkan kelewatan perkhidmatan kereta api di utara negara itu serta laluan antarabangsa.
“Setakat ini, kita tidak mempunyai elemen mencukupi untuk membuat sebarang pengesahan. Kita tidak boleh menyatakan sama ada kuasa asing berada di sebalik panggilan ancaman ini,” kata Macron kepada pemberita di Dublin, Ireland ketika menghadiri pertemuan bersama pemimpin antarabangsa.
Terdahulu, beberapa sekolah di Ireland Utara dan Republik Ireland turut menerima ancaman sama pada Rabu.
Walaupun pegawai awam menyifatkan ancaman terbabit berkemungkinan besar palsu, golongan ibu bapa di Itali menyuarakan kebimbangan terhadap cara pihak berkuasa menangani situasi berkenaan.
Akhbar Itali, la Repubblica melaporkan sekumpulan penduduk mengadakan bantahan terhadap seorang pengetua sekolah di Rom selepas beliau didakwa memandang ringan ancaman itu, sekali gus menggesa kerajaan mengeluarkan garis panduan kebangsaan mengenai tatacara tindak balas.
Ancaman melalui e-mel pada Rabu yang dihantar kepada 6,300 sekolah kerajaan di Itali ditandatangani atas nama ‘Mikhail Andropov, pemimpin Vilayat di Misoginistan’ yang dipercayai bukan individu sebenar.-MalayaDailyToday






















































