GOMBAK – Kediaman peguam terkenal Mohamed Haniff Khatri Abdulla antara tiga rumah teres berkembar dua tingkat yang musnah dalam kebakaran di Bandar Country Homes, Rawang, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.06 pagi sebelum mengejarkan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang serta BBP Batu Arang ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan bahagian atas tiga rumah teres berkenaan dengan kemusnahan dianggarkan masing-masing sebanyak 80, 20 dan lima peratus, manakala sebuah kenderaan jenis Perodua Axia turut musnah hampir 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohamed Haniff mengesahkan beliau bersama isteri dan dua anaknya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal dalam insiden berkenaan.
“Kejadian disedari anak perempuan saya yang ternampak api di ruang tamu tingkat atas sebelum menjerit meminta bantuan. Secara fizikal kami berempat selamat, namun keseluruhan barang di bahagian atas rumah musnah sepenuhnya,” katanya.
Ashrul Riezal menambah bahawa pihak bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 4.08 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.35 pagi, manakala punca kejadian masih dalam siasatan. -MalayaDailyToday



























































