MELAKA – Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersetuju mencalonkan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk meneruskan khidmat sebagai Ketua Menteri Melaka susulan kejayaan parti berkenaan memperoleh majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hari ini.
Media melaporkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, watikah pencalonan berkenaan akan dikemukakan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, pada malam ini bagi proses pelantikan rasmi.
“Dengan ini, BN dan PN mencalonkan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai calon Ketua Menteri Melaka.
“Watikah berkenaan akan saya utuskan malam ini kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada Sabtu.
Pencalonan itu dimuktamadkan selepas pakatan BN dan PN berjaya membentuk kerajaan negeri menerusi keputusan tidak rasmi di 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.-MalayaDailyToday























































