KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi, di sini untuk mengkaji semula perintah pelepasan yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.
Media melaporkan perkara itu disahkan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas perkembangan isu perintah pelepasan yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
“AGC juga memohon suatu perintah pelepasan yang baru supaya selaras dengan perintah pengampunan yang diberikan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah pelepasan itu selepas denda RM50 juta dikenakan terhadap bekas Presiden UMNO tersebut dibayar melalui dana solidariti dilancarkan parti terbabit, yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Bagaimanapun, AGC kemudian mengambil tindakan menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah Najib sementara menunggu penelitian terhadap pengampunan bersyarat dan perintah pelepasan itu.
Menurut jabatan itu, perkara berkenaan melibatkan ‘persoalan undang-undang yang rumit’ yang mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan pengampunan diraja dan perintah mahkamah.
AGC menjelaskan permohonan itu bukan bertujuan mempertikaikan pengampunan bersyarat diberikan, sebaliknya untuk mendapatkan penjelasan berhubung kesan undang-undang perintah pelepasan berkenaan.
Pembayaran RM50 juta itu adalah antara syarat pengampunan yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 18 Sept, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Najib, 73, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.-MalayaDailyToday

























































