KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras insiden serangan seorang warga asing terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanan mangsa putus di Kepong, semalam.
Anwar menegaskan sebarang bentuk jenayah dan keganasan, terutama terhadap anggota penguat kuasa yang menjalankan amanah melindungi keselamatan rakyat, tidak boleh diterima sama sekali.
“Tindakan tegas mesti diambil terhadap sebarang perbuatan jenayah tanpa mengira siapa pelakunya demi mempertahankan kedaulatan undang-undang serta menjamin keselamatan anggota penguat kuasa yang bertugas.
“Saya mendoakan agar anggota berkenaan segera diberi kesembuhan,” katanya dalam satu hantaran dimuat naik di Facebook malam tadi.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan anggota polis berpangkat Lans Koperal itu putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan dua bilah parang di sebuah pangsapuri di Desa AmanPuri, Kepong.
Menurut beliau, mangsa berusia 26 tahun itu kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Katanya, suspek meninggal dunia selepas ditembak polis selepas sekali lagi cuba menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang menyebabkan beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan dalam usaha mempertahankan diri.-MalayaDailyToday
























































