SEBUYAU – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ditemukan meninggal dunia di Ulu Sungai Plaie, Kuching, malam tadi.
Media melaporkan mayat Mohd Nordin Mohd Othman ditemukan penduduk kampung kira-kira pukul 8 malam, pada jarak sekitar 800 meter dari jeti kampung berkenaan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, penemuan itu susulan maklumat seorang penduduk Kampung Tuba yang ternampak seekor buaya dipercayai membawa sesuatu di dalam mulutnya ketika dalam perjalanan pulang selepas menziarahi keluarga mangsa.
Menurutnya, hasil pengecaman fizikal oleh datuk mangsa, Dana anak Randi, mengesahkan jasad yang ditemukan itu ialah remaja berkenaan.
“Keadaan fizikal mangsa ditemui dalam keadaan tidak sempurna, dengan kedua-dua tangan dan kaki kiri tiada, selain terdapat kesan gigitan pada bahagian belakang badan, kemaluan, perut dan pangkal paha.
“Mangsa turut mengalami beberapa kesan luka pada badan, kening dan muka serta kesan calar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Simunjan untuk tindakan lanjut.
Mangsa sebelum ini disambar buaya ketika menjalankan kerja memunggah kelapa sawit ke dalam perahu di Sungai Plaie, Ulu Sebuyau, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu disaksikan bapa saudara mangsa, Midin Radin, sebelum maklumat berhubung insiden berkenaan disampaikan kepada Ketua Kampung Sungai Plaie.
Berikutan penemuan mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 4 pagi hari ini.-MalayaDailyToday




















































