KULIM – Seorang wanita berusia 39 tahun maut selepas dipercayai ditikam suaminya sebanyak 13 kali menggunakan pisau lipat dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Tiram, Kulim Hi-Tech, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, perselisihan faham berkaitan masalah rumah tangga dan cemburu dipercayai menjadi punca utama insiden berkenaan.
Beliau berkata, suspek berusia 43 tahun menyerahkan diri di Balai Polis Lunas pada jam 8.40 malam selepas memaklumkan perbuatannya kepada ahli keluarga dan menyerahkan pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Suspek dipercayai menikam mangsa di dalam bilik tidur utama kediaman mereka, melibatkan tujuh tikaman di dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syamsul memberitahu, selepas kejadian itu, suspek sempat mandi dan mengambil anak mereka yang berusia tiga tahun dari rumah pengasuh sebelum menyerahkan kanak-kanak berkenaan kepada adiknya di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, Pulau Pinang.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Kulim oleh ahli keluarganya namun disahkan meninggal dunia pada jam 9.30 malam.
Ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah, selain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat, dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -MalayaDailyToday





























































