MELAKA – Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan negeri Melaka selepas memperoleh majoriti dua pertiga dengan memenangi 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung hari ini.
Media melaporkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa berdasarkan keputusan tidak rasmi, BN memenangi kesemua 21 kerusi yang ditandinginya manakala PN menyumbang tiga lagi kerusi.
“Yang telah memperoleh majoriti kukuh secara tidak rasmi sebanyak 24 kerusi DUN. Dengan ini, insya-Allah, BN dan PN akan membentuk kerajaan negeri Melaka.
“Bagi pihak seluruh kepimpinan BN dan PN, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat negeri Melaka,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam ini.
Timbalan Perdana Menteri itu menyifatkan keputusan terbabit mencerminkan keyakinan rakyat Melaka terhadap rekod pencapaian, kestabilan politik, serta hala tuju pembangunan yang ditawarkan kedua-dua gabungan berbanding retorik kempen pihak lawan.
Beliau menegaskan bahawa mandat besar tersebut tidak akan dijadikan alasan untuk berasa megah, sebaliknya diterima barisan kepimpinan BN dan PN dengan penuh rasa kesyukuran dan keinsafan.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa BN dan PN memenangi 22 kerusi DUN daripada keseluruhan 28 yang ada di Melaka.
Katanya, BN-PN secara tidak rasmi menang di 22 kerusi iaitu di Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Tabuh Naning, Asahan, Sungai Udang, Duyong, Rim, Sungai Rambai, Merlimau dan Machap Jaya.
Jelasnya, BN dan PN juga menang di Kuala Linggi, Serkam, Rembia, Gadek, Paya Rumput, Ayer Molek, Klebang, Durian Tunggal, Telok Mas, Bukit Katil.
Asyraf Wajdi juga mendakwa BN menang secara tidak rasmi di Bemban melalui rakan strategiknya PN, iaitu kerusi yang BN tewas pada PRN Melaka ke-15, 2021 lalu.
Pada PRN Melaka kali ini, BN meletakkan calon di 21 kerusi DUN manakala PN bertanding di lima kerusi.-MalayaDailyToday























































