PENGKALAN BATU – Wakil calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, J. Samivel Jairas dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.
Media melaporkan insiden itu berlaku di hadapan Bilik Gerakan Utama PH DUN Asahan hari ini.
Samivel yang juga Naib Ketua Cabang PKR Alor Gajah, merupakan wakil kepada calon PH DUN Asahan, Denesh Palasubramaniam bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Jabatan Pilihan Raya Pakatan Harapan mengesahkan insiden berkenaan menerusi kenyataan media, selain menyifatkan pemergian mendiang merupakan kehilangan besar kepada keluarga, sahabat handai, anggota parti PKR dan semua yang mengenali beliau.
“Kami juga memohon semua pihak memberi masa secukupnya kepada keluarga untuk menguruskan upacara pengebumian dengan tenang,” jelas kenyataan itu.
Pihak PH turut merakamkan penghargaan atas segala sumbangan dan khidmat bakti mendiang terutamanya komitmen serta kerja keras sepanjang kempen PRN kali ini.
Susulan insiden itu, wakil pimpinan tertinggi PKR, Gunarajah George dilaporkan berada di Asahan bagi membantu keluarga mendiang serta menyelaraskan jentera pasukan kempen PH di kawasan berkenaan.-MalayaDailyToday























































