MELAKA – Sebanyak 301 kesalahan kecil pilihan raya direkodkan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 sehingga malam tadi, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun.
Media melaporkan beliau berkata, majoriti kesalahan berkenaan melibatkan pemasangan bahan kempen seperti poster dan kain rentang di lokasi larangan khususnya di kawasan persimpangan jalan yang berisiko menghalang pandangan lalu lintas serta mengundang bahaya kemalangan.
“Jumlah 301 itu saya tak boleh kata satu angka yang rendah. Kita berharap perkara ini dapat dikurangkan lagi pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim, di sini, hari ini.
Ramlan turut menegur parti-parti politik yang bertanding agar lebih bertanggungjawab serta meningkatkan tahap pematuhan terhadap garis panduan pemasangan bahan kempen yang ditetapkan oleh suruhanjaya itu.
Menurutnya, pelanggaran peraturan sedemikian sepatutnya dapat dielakkan sepenuhnya sekiranya jentera parti lebih peka terhadap undang-undang pilihan raya.
Pada masa sama, SPR merakamkan penghargaan atas keprihatinan orang ramai yang tampil menyalurkan aduan sepanjang tempoh berkempen dan mengesahkan tindakan susulan telah diambil terhadap semua kesalahan yang dilaporkan.-MalayaDailyToday























































