MADRID – Parlimen Sepanyol meluluskan pakej dasar perumahan bagi menangani krisis perumahan yang semakin meruncing di negara itu, sehari selepas mogok umum di seluruh negara dan protes besar-besaran berhubung peningkatan kos sara hidup.
Menurut penyiar awam Sepanyol, RTVE, Jawatankuasa Tetap Kongres Perwakilan meluluskan dekri terbabit dengan majoriti tipis 35 undi berbanding 34, dengan undi Parti Nasionalis Basque (PNV) menjadi penentu.
Langkah yang diluluskan itu merangkumi lanjutan perlindungan daripada pengusiran sehingga 2030 bagi penyewa yang terdedah kepada kesulitan dan tidak mempunyai tempat tinggal alternatif, selain membenarkan kontrak sewaan dilanjutkan sehingga dua tahun.
Turut dipersetujui ialah penetapan had kenaikan sewa tahunan sehingga akhir 2027 serta pengenalan insentif cukai kepada pemilik rumah yang menurunkan kadar sewa.
Bagaimanapun, satu dekri berasingan yang mencadangkan pelanjutan kontrak sewaan tanpa had tempoh ditolak.
Terdahulu, mogok umum di seluruh negara pada Rabu menyaksikan demonstrasi di beberapa bandar utama termasuk Madrid, Barcelona dan Valencia, dengan penunjuk perasaan menuntut akses lebih luas kepada perumahan mampu milik serta kenaikan gaji.
Pengundian itu berlangsung sehari sebelum kempen rasmi dijadual bermula hari ini, menjelang pilihan raya umum Sepanyol pada 29 November depan.
Kedua-dua dekri berkenaan diluluskan oleh kerajaan pada 6 Oktober lalu, sehari selepas Perdana Menteri, Pedro Sanchez mengumumkan pilihan raya awal susulan penolakan Parlimen terhadap langkah perumahan terdahulu. – MalayaDailyToday






















































