KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon Bella Astillah dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Menara Merdeka Maybank, hari ini.
Media melaporkan pasangan itu dinikahkan kira-kira pukul 10.40 pagi oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Pada majlis berkenaan, Syed Saddiq, 34, menyerahkan mas kahwin wang tunai berjumlah RM500 berserta tujuh dulang hantaran.
Manakala, pihak pengantin perempuan membalas dengan sembilan dulang hantaran.
Antara hantaran diberikan Syed Saddiq ialah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi i-Simpan bernilai RM100,000 dan pakej umrah.
Majlis bertemakan konsep serba putih disulami elemen Arab dan Islamik itu dihadiri kira-kira 300 orang termasuk ahli keluarga, tetamu kehormat dan rakan-rakan terdekat.
Syed Saddiq dan Bella dilaporkan mula berkenalan pada 2025 sebelum mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
Mereka kemudian mengumumkan tarikh pernikahan pada 10 Oktober 2026, dengan majlis berkonsepkan putih serta elemen Arab dan Islamik atas permintaan keluarga.
Pasangan itu turut merancang beberapa majlis meraikan perkahwinan mereka termasuk resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, pada 18 Oktober ini.-MalayaDailyToday
























































