LAHAD DATU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan pengukuhan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) akan terus diperkasa menerusi penggunaan teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan kestabilan negeri terus terjamin.
Beliau berkata, kerajaan negeri komited memodenkan aset keselamatan melalui penggunaan dron, radar serta analisis data raya (Big Data) bagi meningkatkan kecekapan pemantauan dan mempercepatkan respons terhadap sebarang ancaman.
Menurutnya, pendekatan itu selari dengan kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang memberi penekanan kepada sistem keselamatan lebih menyeluruh termasuk dari aspek digital.
“Kita mahu agensi keselamatan memperkasakan penggunaan AI dalam operasi supaya sistem keselamatan bukan sahaja kukuh secara fizikal, tetapi juga dari segi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah SMJ sempena Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke ESSZone di Dewan Perdana baru-baru ini.
Hajiji berkata, aspek keselamatan merupakan elemen penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi Sabah terus berkembang selain meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negeri itu.

“Tanpa jaminan keselamatan yang kukuh, keyakinan pelabur akan terjejas, aktiviti ekonomi terbantut dan kesejahteraan rakyat turut menerima kesan,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan di kawasan ESSZone akan dilaksanakan secara holistik dengan menyeimbangkan keperluan keselamatan serta pembangunan ekonomi dan sosial rakyat.
Menurutnya, sektor maritim dan Ekonomi Biru dikenal pasti sebagai antara pemacu pertumbuhan baharu di bawah SMJ 2.0 melibatkan industri perikanan moden, pelancongan marin serta pembangunan bandar pesisir dan sempadan.
Katanya, potensi besar itu hanya dapat direalisasikan sekiranya keselamatan perairan Sabah terus diperkukuh tanpa kompromi.
“Sabah mempunyai kedudukan strategik dengan garis pantai melebihi 1,400 kilometer dan menjadi barisan hadapan negara di Borneo serta Laut Sulu.
“Pengukuhan keselamatan bukan sahaja melindungi rakyat, tetapi turut membuka ruang pembangunan bandar sempadan sebagai pintu ekonomi baharu negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata Lahad Datu mempunyai potensi ekonomi besar khususnya dalam sektor perladangan, perikanan, pelancongan dan industri hiliran.
Namun katanya, semua potensi itu hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika keadaan keselamatan dan kestabilan terus terpelihara.
“Pelabur hanya akan datang jika mereka yakin keselamatan perairan kita terjamin,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan bukan hanya terletak di bahu pasukan keselamatan, sebaliknya memerlukan kerjasama masyarakat setempat sebagai rakan strategik.
Katanya, rakyat khususnya di kawasan ESSZone perlu sentiasa peka dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Dalam perkembangan sama, Hajiji memberi jaminan kebajikan anggota keselamatan akan terus dipelihara melalui kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk dari segi kemudahan, perumahan serta logistik.
Beliau berkata, Program Lawatan Tinjauan Keselamatan itu juga menjadi platform penting bagi menilai kekuatan dan kelemahan sedia ada sebelum langkah penambahbaikan dirangka demi memastikan ESSZone kekal aman dan terkawal. -MalayaDailyToday

























































