TANAH MERAH – Seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan mengalami cedera parah selepas dilibas oleh lelaki positif dadah dengan sebilah parang semasa Ops Tapis Bersepadu Sempadan di Kampung Lalang Pepuyu di sini, semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.35 petang apabila sepasukan JSJN IPK Kelantan bersama anggota Balai Polis Bukit Bunga dan Balai Polis Lalang Pepuyu menyerbu sebuah rumah di kampung berkenaan.
Kata beliau, suspek berusia 30-an bertindak melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum dikejar oleh anggota polis.
“Ketika cuba menangkapnya, suspek bertindak agresif dengan melibas parang ke arah anggota polis sehingga menyebabkan seorang anggota cedera parah dan mengalami keretakan pada tangan kiri,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Yusoff berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan di lokasi kejadian.
Katanya, polis turut merampas sebilah parang berukuran kira-kira 35 sentimeter, pil yaba seberat 0.1 gram dan sebotol cecair disyaki air ketum daripada suspek.
Semakan rekod menunjukkan suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Tambah beliau, suspek akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan perintah reman.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana percubaan membunuh dan mendatangkan kecederaan, selain Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Operasi berkenaan dilaksanakan oleh JSJN Kelantan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, dan Jeli menerusi Ops Tapis Bersepadu Sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta pengedaran dadah di sempadan Malaysia-Thailand.-MalayaDailyToday




















































