PASIR GUDANG – Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan terbakar di tepi landasan kereta api laluan Kempas-Pasir Gudang di sini kelmarin.
Media melaporkan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Menurut beliau, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu di kilometer 22.50 dan 22.75 berdekatan landasan terbabit kira-kira pukul 4.20 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan mengalami kecederaan terbakar hampir 70 peratus pada tubuhnya.
Jelas Mohd Sohaimi, berdasarkan keadaan mayat, lelaki berkenaan dipercayai bertindak membakar dirinya sendiri.
“Mayat terbabit kemudiannya dibawa ke Hospital Pasir Gudang dan hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat melecur atau terbakar yang serius,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial spekulasi mendakwa insiden berkenaan melibatkan unsur jenayah bunuh susulan penyebaran beberapa gambar dan maklumat tidak sahih.-MalayaDailyToday






















































