KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan tidak penting ke Perancis susulan demonstrasi dan rusuhan yang sedang berlaku di beberapa bandar utama di negara itu.
Kementerian Luar menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook memaklumkan, pihaknya sedang memantau rapat perkembangan demonstrasi berkenaan.
Jelas kementerian, setakat ini tiada laporan rakyat Malaysia terlibat atau terjejas akibat demonstrasi berkenaan.
Menurut kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Paris turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya meningkatkan langkah berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada terhadap perkembangan keselamatan semasa.
“Walaupun tiada sekatan perjalanan ke Perancis, rakyat Malaysia dinasihatkan mempertimbangkan untuk menangguhkan urusan yang tidak mendesak sehingga keadaan kembali pulih.
“Kedutaan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat terkini dan memudahkan penyaluran bantuan kepada rakyat Malaysia sekiranya diperlukan,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, kementerian turut menggesa rakyat Malaysia yang menetap di Perancis supaya memastikan pihak Kedutaan mempunyai maklumat perhubungan terkini mereka.
“Mereka yang masih belum berdaftar dengan Kedutaan digalakkan berbuat demikian menerusi platform e-Konsular kementerian di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan sekiranya berlaku kecemasan,” jelas kenyataan.
Rakyat Malaysia yang merancang perjalanan ke Perancis juga digalakkan mendaftarkan butiran perjalanan masing-masing melalui e-Konsular, selain mengikuti perkembangan terkini daripada Kedutaan dan pihak berkuasa Perancis.
Bagi mendapatkan bantuan konsular segera, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Paris menerusi talian +33 1 45 53 11 85 atau talian kecemasan selepas waktu pejabat di +33 6 32 44 65 71.
Sebarang pertanyaan dan permohonan bantuan turut boleh dikemukakan melalui e-mel par.consular@kln.gov.my.
Kementerian akan terus memantau keadaan dan menyalurkan maklumat lanjut sekiranya perlu.-MalayaDailyToday



















































