KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menyarankan pelajar asrama untuk terus kekal berada di asrama berkenaan sepanjang tempoh penutupan sekolah akibat jerebu, selagi keadaan persekitaran selamat dan kebajikan mereka terjamin.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook memaklumkan syor tersebut dibuat bagi mengelakkan ibu bapa terbeban dengan urusan logistik untuk mengambil dan menghantar anak berulang kali berikutan keputusan penutupan sekolah yang boleh berlaku secara berkala.
“Bagi murid asrama, selepas ini mereka disarankan untuk terus berada di asrama sepanjang penutupan sekolah akibat jerebu selagi keadaan selamat dan kebajikan terjamin.
“Kita tidak mahu ibu bapa terbeban dengan urusan mengambil dan menghantar anak berulang kali,” katanya.
Fadhlina berkata, pihak kementerian memahami keresahan ibu bapa dan telah mengarahkan agar sebarang pengumuman penutupan sekolah dimaklumkan seawal mungkin bagi memberi ruang kepada keluarga membuat persediaan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang sentiasa berubah mengikut lokasi dan masa memerlukan keputusan operasi sekolah disesuaikan mengikut keadaan semasa setempat.
Beliau menambah, pengurusan jerebu melibatkan bidang kuasa yang luas membabitkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau kualiti udara, Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan panduan risiko kesihatan, manakala KPM pula menumpukan kepada keselamatan murid serta pengurusan operasi sekolah.
Fadhlina turut menegaskan bahawa pengalaman pandemik COVID-19 membuktikan gangguan persekolahan memberi kesan besar kepada pembelajaran anak-anak, terutamanya apabila jurang kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) masih wujud.
Katanya, KPM akan terus memantau keadaan secara ketat menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan maklumat terkini sampai kepada ibu bapa secara berkesan.-MalayaDailyToday
























































