KUALA LUMPUR – Kerajaan menggalakkan rakyat menggunakan aplikasi tempatan, TuJu sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya berikutan kebimbangan terhadap risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan pengguna aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan penggunaan aplikasi yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) itu dibincangkan sewaktu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bil 3/2026 semalam.
Anwar menegaskan langkah berkenaan diambil bagi meneliti perkembangan ancaman siber serta memperkukuh kesiapsiagaan dan kedaulatan digital negara.
Beliau memaklumkan mesyuarat itu turut membincangkan pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID, persediaan menghadapi ancaman komputer kuantum melalui kriptografi pasca-kuantum (PQC), serta perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).
“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat.
“Justeru, kerajaan memperkukuh ekosistem identiti bersepadu dengan MyKad sebagai kredensial fizikal dan MyDigital ID bagi urusan digital, disokong perlindungan siber yang lebih ampuh termasuk persediaan menghadapi ancaman masa hadapan melalui PQC,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah Anwar, usaha berterusan itu amat penting bagi memastikan pendigitalan perkhidmatan awam terus memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengabaikan aspek keselamatan, kepercayaan, dan kedaulatan negara.-MalayaDailyToday























































