KOTA BHARU – Polis Kelantan membuka enam kertas siasatan berhubung kes buli melibatkan murid dan pelajar di sekolah di negeri itu sejak Januari lalu.
Media melaporkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, daripada jumlah itu, satu kes telah dituduh di mahkamah, tiga masih dalam siasatan manakala dua lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
“Kesemua mangsa yang terlibat dalam kes buli itu berusia dalam lingkungan tujuh hingga 18 tahun,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, beliau meminta semua Ketua Polis Daerah dan pegawai perhubungan sekolah di negeri ini memperketat kerjasama dengan pihak sekolah, ibu bapa serta komuniti bagi mengekang gejala keganasan dalam kalangan pelajar secara ketara.
“Setiap aduan perlu diberikan perhatian dan setiap tindakan mesti dilaksanakan secara profesional. Jangan tunggu tragedi berlaku untuk kita bertindak,” katanya.
Tambah Mohd Yusoff, pada 6 Oktober Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sebanyak 5,681 kes buli dilaporkan di sekolah-sekolah seluruh negara sepanjang tempoh Januari hingga Ogos 2026.
Beliau menegaskan bahawa insiden kematian membabitkan pelajar seperti Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril di Negeri Sembilan dan Allahyarham Irene Sofiya di Johor mesti dijadikan pengajaran bahawa gejala buli tidak boleh dipandang ringan.
Katanya, sekolah perlu kekal sebagai persekitaran yang selamat untuk pelajar menimba ilmu tanpa sebarang ketakutan atau ancaman keselamatan.-MalayaDailyToday






















































