KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan beliau antara individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam kes dua individu bukan mahram berdua-duaan di sebuah tempat tertutup di Petaling Jaya pada 15 Oktober lalu.
Bekas Naib Presiden PKR yang kini menerajui parti BERSAMA itu membuat pengakuan berkenaan dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagram rasminya.
Menurut Nik Nazmi, kejadian itu ketika beliau bersama rakan-rakan mengadakan perbincangan di sebuah studio di Brickfields, Kuala Lumpur.
Mereka kemudian memutuskan untuk meneruskan perbincangan di Petaling Jaya bagi melihat beberapa bahan berkaitan projek yang dibincangkan.
“Pada masa pegawai JAIS tiba, sememangnya hanya saya dan wanita tersebut yang ada. Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan
“Seperti yang saya maklumkan juga kepada Pegawai JAIS, kami sememangnya tidak melakukan apa-apa tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka.
“Saya ingin memohon maaf kepada isteri keluarga dan keluarga kami dan semua yang terkesan di atas kesilapan pertimbangan pada waktu kejadian yang tidak sewajarnya berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau akan memberikan kerjasama untuk sebarang proses perundangan selepas ini.
Nik Nazmi juga memohon maaf kepada parti BERSAMA kerana mengecewakan ahli dan penyokong parti itu, selain mengakui isu berkenaan menjejaskan parti.
Katanya, beliau akan menerima apa jua keputusan yang dibuat oleh parti.
“Saya berharap semua pihak akan menghormati proses perundangan dan tidak memanjangkan perbicaraan menerusi media,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad menerusi kenyataan mengesahkan dua individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes khalwat melibatkan seorang figura awam di sekitar daerah Petaling Jaya.
Mohd Shahzihan berkata, dua individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kesalahan yang disyaki dilakukan di bawah Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Kata beliau, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.-MalayaDailyToday
























































