KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusinya Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober ini dengan tempoh berkempen berlangsung selama 14 hari.
Jelas beliau, hari mengundi awal ditetapkan pada 10 November depan.
Ramlan turut memaklumkan urusan permohonan semua kategori undi pos bagi PRN Melaka ke-16 telah dibuka pada 23 September lalu.
“Tarikh tutup permohonan undi pos adalah pada 28 Oktober bagi kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, tentera serta petugas media.
“Bagi kategori 1B (warganegara Malaysia di luar negara) dan kategori 1C (agensi atau organisasi), tarikh tutup permohonan ditetapkan pada 23 Oktober,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook.
Dalam pada itu, Ramlan berkata, PRN Melaka kali ini menyaksikan seramai 687,697 pemilih akan terlibat, membabitkan 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera serta pasangan dan 2,762 anggota polis.
Katanya, daftar pemilih berkenaan ialah daftar terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Julai 2026 yang dikemas kini sehingga 22 September lalu.
Menurut beliau, sebanyak 271 pusat mengundi akan digunakan, membabitkan 31 pusat mengundi awal dengan 50 saluran serta 240 pusat mengundi biasa yang mempunyai 1,213 saluran.
“Secara keseluruhan, 1,263 tempat mengundi atau saluran disediakan bagi PRU DUN Melaka Ke-16,” katanya.
SPR turut melantik seramai 11,175 petugas bagi mengendalikan proses pilihan raya, selain 28 Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang dibantu 80 Penolong Pegawai Pengurus.
“Manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR menubuhkan 28 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang turut dianggotai oleh wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding,” jelasnya.
Pada 22 September lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa 23 September bagi memberi laluan kepada PRN ke-16 diadakan.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 21 dimenangi BN pada PRN lalu, manakala lima dimenangi PH dan dua Perikatan Nasional (PN).-MalayaDailyToday




















































