KUALA LUMPUR – Perselisihan rumah tangga dipercayai menjadi punca seorang wanita maut disyaki dibunuh suaminya di Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an itu kini direman selama tujuh hari sehingga 22 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, polis menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 9.30 malam selepas suspek menyerahkan diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang memaklumkan mengenai kematian isterinya.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian dan menemukan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan.
Pasukan perubatan Klinik Kesihatan Nilai kemudian mengesahkan kematian mangsa di lokasi kejadian.
Alzafny memberitahu pemeriksaan awal Bahagian D10 Forensik Kontinjen Negeri Sembilan mendapati mangsa mengalami kecederaan disyaki akibat tikaman, selain sebilah pisau dan beberapa barang kes lain turut dirampas bagi membantu siasatan.
Jelasnya, mangsa merupakan pegawai Kastam yang bertukar ke Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan yang boleh mengganggu proses siasatan polis.-MalayaDailyToday






















































