MILAN – Kerajaan Itali merancang mengerahkan 500 anggota tentera tambahan ke Milan susulan siri rusuhan berdarah dan kegiatan merompak yang mengakibatkan kerosakan bernilai jutaan euro di ibu kota kewangan negara itu, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat krisis yang dipengerusikan Perdana Menteri Giorgia Meloni dengan dekri khas dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan tentera membantu polis mengawal pusat bandar raya.
Pengerahan tentera berkenaan dibuat menerusi misi “Strade Sicure” (Jalan Selamat) yang beroperasi sejak 2008 bagi membantu pasukan keselamatan memantau kawasan bandar utama serta infrastruktur berisiko tinggi.
Pihak berkuasa Itali turut mempertimbangkan pelaksanaan perintah berkurung di kawasan tertentu di pusat bandar selepas siri demonstrasi bantahan kos sara hidup bertukar menjadi ganas pada hujung minggu lalu.
Di Piazza del Duomo dan kawasan sekitarnya, golongan belia berpakaian hitam dan memakai pelitup muka bertindak memecahkan cermin premis, menjarah kedai serta pasar raya, dan menyerang pihak berkuasa.
Lebih 270 individu tahanan sementara telah direkodkan dengan sebilangan besar melibatkan golongan bawah umur, manakala sekurang-kurangnya 14 anggota pasukan keselamatan dilaporkan cedera.
Gelombang ketegangan yang dipicu kadar inflasi Itali pada paras 4.2 peratus itu kini menyaksikan perbandingan dibuat dengan siri rusuhan yang sedang melanda Perancis.-MalayaDailyToday























































