CALGARY – Sekurang-kurangnya empat anggota tentera maut manakala puluhan lagi cedera parah selepas kebakaran besar melanda sebuah pangkalan tentera di Alberta ketika eksesais latihan dijalankan dalam keadaan angin kencang kelmarin.
Media antarabangsa melaporkan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menyifatkan tragedi yang berlaku pada hujung minggu sebagai antara insiden terburuk menimpa angkatan tentera negara berkenaan di tanah air ketika keadaan aman.
Beliau turut mengarahkan bendera di bangunan kerajaan Persekutuan di seluruh negara dikibarkan separuh tiang sebagai penghormatan kepada mangsa.
“Seluruh negara berkabung atas kehilangan anggota Angkatan tentera kita yang berani,” katanya.
Menurut Carney, mereka yang terjejas dalam kebakaran pada Sabtu berasal dari pangkalan tentera di seluruh Kanada.
Setakat ini, hanya sedikit maklumat didedahkan mengenai punca kebakaran.
Kebakaran tercetus kira-kira pukul 4 petang waktu tempatan Sabtu di Pangkalan Tentera Kanada Wainwright (CFB Wainwright) ketika angin kencang mencecah kelajuan sehingga 96 kilometer sejam melanda kawasan terbabit.
Pasukan bomba tentera dan awam bertungkus-lumus memadamkan kebakaran sepanjang malam, manakala perkhidmatan ambulans udara diterbangkan dari Edmonton dan Saskatoon bagi memindahkan mangsa cedera ke hospital di Edmonton, Calgary, Wainwright, dan Red Deer.
Menurut laporan CBC News, hospital di Edmonton mengisytiharkan “kod jingga”, untuk mengendalikan jumlah pesakit yang ramai dari kawasan kejadian.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Negara, David McGuinty berkata, beliau akan berlepas ke lokasi pangkalan berkenaan bagi mendapatkan taklimat lanjut mengenai situasi semasa dan punca kejadian.
Pihak perbandaran Wainwright memaklumkan bahawa api sempat melepasi pagar pangkalan ke kawasan berhampiran, namun tiada arahan pemindahan dikeluarkan berikutan kebakaran kini berjaya dikawal daripada terus merebak.
CFB Wainwright turut menempatkan Pusat Latihan Manuver Kanada serta lebih 1,300 anggota tentera dan kakitangan awam.
Pangkalan itu, antara yang terbesar di Kanada, terletak kira-kira 210 kilometer ke timur Edmonton, Alberta.-MalayaDailyToday




















































