KUALA LUMPUR – Bekas pegawai risikan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Wong Kooi Fong atau lebih dikenali sebagai Blossom Wong, meninggal dunia hari ini pada usia 88 tahun.
Mendiang dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur selepas mengalami serangan angin ahmar akibat pendarahan otak.
Berita pemergian tokoh risikan wanita terkenal negara itu disahkan anak perempuannya, Dr Christina Blossom Welch.
Menurut Christina, ibunya sebelum itu berada dalam keadaan sihat sebelum tiba-tiba mengalami komplikasi kesihatan dan dikejarkan ke hospital semalam.
“Semua ini berlaku dengan sangat pantas dan tidak dijangka,” katanya.
Blossom Wong dikenali sebagai antara pegawai wanita paling berpengaruh dalam sejarah risikan negara dan pernah digelar “perisik Malaysia yang memakai cheongsam” kerana keberaniannya menyamar ketika menjalankan operasi membanteras kegiatan komunis sekitar era 1960-an.
Beliau dilahirkan di Sungai Besi, Kuala Lumpur dan menyertai pasukan polis ketika berusia awal 20-an sebelum ditempatkan dalam Cawangan Khas.
Ketika negara berdepan ancaman komunis, Blossom Wong memainkan peranan penting dalam operasi risikan dan penyamaran bagi menjejaki rangkaian pengganas komunis yang aktif ketika itu.
Difahamkan, beliau sering menyamar sebagai wanita sosial dan menghadiri pelbagai majlis bagi mendapatkan maklumat risikan penting untuk pihak berkuasa.
Keberanian dan kebijaksanaannya dalam menjalankan operasi rahsia menjadikan beliau antara pegawai wanita paling disegani dalam pasukan keselamatan negara.
Selain terbabit dalam operasi membanteras komunis, Blossom Wong turut mencipta sejarah apabila mengetuai Bahagian Siasatan Keganasan Seksual, Penderaan Kanak-Kanak dan Keganasan Rumah Tangga di Bukit Aman ketika era kepimpinan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar.
Beliau bersara daripada pasukan polis pada 1993 selepas lebih 36 tahun menabur bakti dalam bidang keselamatan dan risikan negara.
Pemergiannya disifatkan sebagai kehilangan besar buat negara, khususnya kepada warga PDRM yang pernah mengenali jasa dan pengorbanannya sepanjang berkhidmat.
Upacara penghormatan terakhir dijadual berlangsung pada 3 dan 4 Mei ini di Nirvana 2, Kuala Lumpur sebelum pengebumian pada 5 Mei. -MalayaDailyToday


























































