SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalankan siasatan terhadap hantaran tular berhubung tindakan seorang individu dipercayai beragama Islam dan melakukan ritual agama lain yang bertentangan dengan hukum syarak.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, siasatan telah dimulakan berdasarkan Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang melibatkan perbuatan menunjukkan pemujaan dengan cara menyalahi hukum syarak dan menyebabkan agama Islam dipandang hina.
“Setakat ini, JAIS masih belum dapat mengesahkan bahawa perbuatan tersebut dilakukan individu berkenaan ketika perayaan Thaipusam di Batu Caves seperti mana yang ditularkan.
“Pihak JAIS juga tidak menolak keberangkalian hantaran itu melibatkan suntingan superimpose atau kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Mohd Shahzihan berkata, beberapa fakta kes termasuk lokasi kejadian akan disiasat secara lebih teliti dan kadar segera bagi mengenal pasti bidang kuasa JAIS untuk mengambil tindakan selanjutnya di bawah undang-undang yang berkuat kuasa.
“JAIS memandang serius perkara menyentuh persoalan akidah umat Islam di Selangor dan setiap maklumat atau aduan akan disiasat dan diambil Tindakan secara profesional, tegas, cepat, tepat dan adil.
“Kami juga akan terus kekal komited dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang syariah bagi memastikan akidah aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di Selangor terus terpelihara tanpa sebarang penyelewengan, penghinaan dan pertikaian,” katanya.
Semalam, media melaporkan Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama sedang mengambil tindakan bersama dengan pihak berkuasa berhubung penularan beberapa rakaman video yang didakwa memaparkan seorang individu beragama Islam terlibat dalam ritual keagamaan bukan Islam.
Menterinya, Zulkifli Hasan dilaporkan berkata, pihaknya mengambil maklum rakaman berkenaan yang turut dikaitkan dengan perlakuan unsur pemujaan dan penggunaan mantera tertentu.-MalayaDailyToday






















































