BATU PAHAT – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Batu Pahat hari ini atas pertuduhan membunuh Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal di sebuah sekolah di Yong Peng, awal bulan ini.
Media melaporkan tertuduh berusia 16 tahun yang juga merupakan rakan sekelas Irene Sofiya hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes pembunuhan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, remaja terbabit didakwa membunuh Irene Sofiya, 16, di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, Yong Peng antara pukul 2.30 hingga 4.00 petang pada 3 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta sebatan tidak kurang 12 kali, sekiranya sabit kesalahan.
Pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Juanita Mohd Said dan Firdaus Ruslan memohon tarikh sebutan baharu bagi melengkapkan dokumen sementara menunggu laporan bedah siasat dan forensik patologi.
Mahkamah membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan 22 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes, manakala tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Tertuduh yang diwakili peguam Suhaila Shafi’uddin dan Mohd Azlan Shah Mohd Allias tiba di mahkamah seawall pukul 7 pagi tadi dengan kawalan ketat pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) IPD Batu Pahat.
Sejurus pertuduhan selesai, tertuduh dibawa keluar oleh polis melalui pintu belakang.
Media sebelum ini melaporkan Irene Sofiya ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa dengan kecederaan parah pada muka dan badan di dewan sekolah di Yong Peng, Batu Pahat.
Irene Sofiya ditemui neneknya yang datang ke sekolah berkenaan selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah.
Susulan kejadian itu, suspek berusia 16 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan.
Polis turut melakukan beberapa siri rampasan dan penemuan barang kes di sekitar Yong Peng, termasuk sebatang besi sepanjang kira-kira 96 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.
Batang besi itu dibaluti tali leher berwarna biru pada bahagian hujung, dipercayai dijadikan sebagai pemegang untuk memukul mangsa.-MalayaDailyToday























































