KUALA LUMPUR – Lima rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Jepun selepas disyaki cuba menyeludup dadah jenis kokain yang disembunyikan di bawah pelapik kasut mereka melalui Lapangan Terbang Haneda di Tokyo.
NHK World Japan melaporkan polis berkata, salah seorang suspek yang dikenali sebagai Mohd Danial Far Han Bin Abdul Rahman bersama tiga lagi suspek mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Manakala seorang lagi suspek menafikan penglibatannya.
Polis Tokyo memaklumkan kesemua individu terbabit cuba memasuki Jepun dari Malaysia dengan membawa kira-kira lima kilogram kokain yang dianggarkan bernilai AS$757,300 (RM3.4 juta) di pasaran gelap.
Pegawai kastam di lapangan terbang menemukan bungkusan kokain yang disembunyikan di bawah pelapik kasut yang dipakai setiap suspek.
Mohd Danial dilaporkan memberitahu pihak berkuasa bahawa dia mengenali seorang individu menerusi aplikasi media sosial yang kemudian memintanya membawa bungkusan dadah ke luar negara.
Katanya, individu berkenaan menawarkan bayaran lumayan sebagai ganjaran dan menyerahkan sepasang kasut kepadanya untuk digunakan dalam perjalanan tersebut.
Pihak berkuasa dan polis Jepun percaya kesemua lima suspek berkenaan bertindak atas arahan untuk menyeludup masuk bekalan dadah itu ke negaranya.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan dan mengesyaki terdapat penglibatan sindiket penyeludupan antarabangsa dalam kes berkenaan.-MalayaDailyToday

























































