KUALA LUMPUR — Seorang pegawai wanita Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditemukan maut dipercayai dibunuh oleh suaminya sendiri dalam kejadian di Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Nilai, malam tadi.
Media melaporkan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan kira-kira pukul 8.30 malam.
“Pembunuhan itu dipercayai dilakukan oleh suaminya. Suspek juga menyerahkan diri di balai polis selepas kejadian berkenaan,” katanya.
Alzafny berkata, polis sedang menjalankan siasatan terperinci di lokasi kejadian bagi mengenal pasti motif sebenar pembunuhan serta waktu tepat insiden berlaku.
Jelas beliau, suspek turut dibawa semula ke tempat kejadian bagi membantu proses siasatan lanjut.
Alzafny menambah, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara.
Maklumat lanjut berkaitan kes akan dikeluarkan selepas siasatan di lokasi selesai sepenuhnya.
Sementara itu, abang sulung mangsa, Amran Ibrahim, 59, berkata, dia menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.30 malam daripada adik lelakinya sebelum pihak polis mengesahkan kematian mangsa berpunca daripada tikaman.
“Kira-kira jam 7.30 malam ketika saya berada di rumah, salah seorang adik lelaki saya menelefon dan memaklumkan arwah dibunuh suaminya yang telah pun menyerah diri di balai polis,” katanya.
Amran memberitahu pasangan berkenaan yang telah berkahwin selama tujuh tahun sedang berdepan konflik rumah tangga dan dalam proses perceraian, manakala suspek baru sahaja dibebaskan dari penjara berhubung kesalahan berkaitan dadah.
Katanya, dua anak pasangan itu yang berusia lima dan enam tahun kini berada di bawah jagaan ibu saudara mereka di Kelantan.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban bagi proses bedah siasat yang dijadualkan pada Sabtu pagi, sebelum jenazah dibawa pulang ke Kelantan untuk urusan pengebumian.-MalayaDailyToday






















































