KUALA LUMPUR – Semua sekolah di Johor dan sekolah di tiga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Selangor dan satu di PPD Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan ditutup esok susulan situasi jerebu yang masih berterusan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, penutupan itu membabitkan sekolah di bawah empat PPD iaitu kawasan Bangsar Pudu, Hulu Langat, Gombak dan Petaling Perdana.
Bagaimanapun, katanya, sekolah di Melaka, Pulau Pinang, Putrajaya, Labuan, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak pula beroperasi seperti biasa.
“Bagi Kuala Lumpur dan Selangor, sekolah di bawah PPD selain yang dinyatakan turut beroperasi seperti biasa.
“Ibu bapa dan warga sekolah dimohon merujuk makluman rasmi kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan PPD masing-masing bagi sebarang perkembangan terkini,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebook.
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan memaklumkan status pengoperasian sekolah akan ditentukan berdasarkan pemantauan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada setiap hari.
Menurut kementerian, pihaknya telah mengarahkan Pengarah Pendidikan Negeri (PPN) menubuhkan Jawatankuasa Petugas Pemantau Jerebu membabitkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).-MalayaDailyToday



















































