KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terkorban atau cedera dalam insiden serangan terbaharu di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi.
Menurut kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh sedang berhubung dengan beberapa rakyat Malaysia yang terkandas akibat gangguan perjalanan bagi memberikan bantuan konsular yang diperlukan.
“Rakyat Malaysia yang menetap, sedang dalam perjalanan melalui atau merancang untuk melakukan perjalanan ke Arab Saudi amat digesa supaya sentiasa berwaspada.
“Memandangkan gangguan penerbangan masih berterusan, mereka yang mempunyai rancangan perjalanan dalam masa terdekat dinasihatkan supaya mengesahkan status penerbangan masing-masing secara langsung dengan syarikat penerbangan sebelum bergerak ke lapangan terbang,” jelas kementerian itu.
Kementerian itu turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya bersedia menghadapi kemungkinan kelewatan atau pembatalan penerbangan, sentiasa mengikuti perkembangan melalui saluran rasmi serta mematuhi sepenuhnya arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh menerusi kenyataan menasihatkan rakyat Malaysia di Arab Saudi supaya kekal bertenang dan mengelakkan daripada berada di kawasan-kawasan berisiko tinggi.
Menurut kenyataan, rakyat Malaysia juga diminta tidak mengambil dan menyebarkan sebarang gambar atau video berkaitan insiden keselamatan semasa yang boleh menimbulkan panik atau mengganggu operasi pihak berkuasa.
Jelas kenyataan, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk merancang perjalanan sebaiknya dan menyemak status penerbangan secara langsung dengan syarikat penerbangan dan pihak lapangan terbang sebelum melakukan perjalanan.
“Rakyat Malaysia yang menetap atau sedang berada di Arab Saudi diminta untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat keberadaan dengan pihak kedutaan di Riyadh bagi memudahkan sebarang penyaluran maklumat dan bantuan konsular sekiranya diperlukan.
“Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi dan akan memaklumkan sebarang perkembangan penting yang memerlukan perhatian rakyat Malaysia melalui saluran rasmi,” jelas kenyataan yang dimuat naik di Facebook Wisma Putra.
Bagi mendapatkan bantuan consular kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh menerusi talian 00 966 56 300 6319 atau e-mel di mwriyadh@kln.gov.my.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) mengesahkan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan 309 lagi cedera dalam serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh.
Susulan insiden itu, GACA mengumumkan semua penerbangan ke Riyadh dilencongkan, selain operasi di lapangan terbang di bandar raya itu dihentikan sementara.-MalayaDailyToday






















































