PESHAWAR – Sekurang-kurangnya 33 murid dan seorang guru maut selepas bumbung sebuah sekolah swasta tiga tingkat runtuh di bandar Peshawar, barat laut Pakistan.
Media antarabangsa melaporkan kejadian yang berlaku pada pukul 8.48 pagi di Sekolah Swasta Al-Khair di Dir Colony, turut menyebabkan lebih 12 mangsa lain cedera.
Menurut pegawai hospital, sebahagian mangsa yang cedera ketika ini berada dalam keadaan kritikal.
Pegawai penyelamat, Bilal Faizi mengesahkan bumbung sebuah bilik darjah di tingkat atas runtuh sebelum serpihannya menghempap siling kelas di tingkat bawah, menyebabkan sejumlah murid terperangkap di bawah runtuhan.
Seorang guru Bahasa Inggeris dari sekolah berhampiran berkata, dia bersama penduduk tempatan bergegas ke lokasi sebaik mendengar bunyi siren dan ambulans.
Mereka berjaya mengeluarkan lebih 20 kanak-kanak daripada runtuhan.
Menurut guru itu, dia sendiri mengeluarkan enam kanak-kanak dengan tangannya dan kebanyakan mereka ketika itu masih hidup serta mampu bercakap, namun kemudian disahkan meninggal dunia.
Dalam pada itu, Ketua Polis Peshawar, Mian Saeed berkata, pihaknya telah menahan pemilik sekolah berkenaan bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran kod bangunan dan penggunaan struktur tidak mengikut piawaian.
Menurut beliau, semasa kejadian, terdapat kira-kira 30 murid di kelas tingkat atas, 40 murid di tingkat tengah, serta 45 murid di tingkat bawah.
Siasatan awal mendapati bumbung bilik darjah di tingkat paling atas runtuh akibat menanggung beban berlebihan, sebelum serpihan bangunan itu menghempap dan merobohkan siling kelas di tingkat tengah dan tingkat bawah.
Mian Saeed berkata, keseluruhan struktur bangunan itu menggunakan kepingan bumbung yang tidak memenuhi piawaian selain dipercayai menanggung beban melebihi had kemampuannya.
Pegawai kecemasan, Arif Khattak mengesahkan keseluruhan struktur bangunan dua tingkat yang diubah suai menjadi tiga tingkat itu dibina sebagai struktur sementara menggunakan kepingan bumbung yang tidak memenuhi standard keselamatan.
Hospital Lady Reading mengesahkan kematian 32 kanak-kanak dan seorang guru, manakala Hospital Memorial Naseerullah Khan Babar merekodkan kematian seorang lagi murid.
Polis turut memberi amaran bangunan berkenaan masih dalam keadaan sangat berbahaya dan meminta orang ramai menjauhi kawasan itu.
Susulan tragedi itu, Gabenor Khyber Pakhtunkhwa, Faisal Karim Kundi mengarahkan audit keselamatan dilakukan terhadap semua sekolah di wilayah berkenaan bagi mengenal pasti sebarang risiko dan memastikan tindakan pembetulan segera dilaksanakan.
“Kita tidak boleh membiarkan keselamatan anak-anak kita dikompromi,” katanya.-MalayaDailyToday






















































