KALIMANTAN – Keadaan jerebu parah akibat kebakaran hutan yang semakin merebak menyaksikan ruang udara Kalimantan Tengah bertukar menjadi warna jingga tebal sekali gus menjejaskan jarak penglihatan dan kualiti udara di wilayah berkenaan.
Tahap pencemaran udara turut meningkat dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) Indonesia melepasi 1,200 iaitu lebih empat kali ganda daripada paras 300 yang dikategori sebagai berbahaya.
Beberapa gambar dan rakaman video dikongsi orang ramai di media sosial menunjukkan jalan raya dan bangunan di sekitar Palangka Raya, ibu kota wilayah berkenaan diselubungi jerebu tebal.
Media melaporkan Kementerian Perhutanan Indonesia menerusi kenyataan memaklumkan, jumlah titik panas kebakaran hutan dan tanah di enam wilayah keutamaan negara itu melonjak lebih dua kali ganda dalam tempoh sehari, daripada 238 kepada 542.
Jelas kenyataan itu, data cerapan satelit terkini kementerian menunjukkan sebanyak 1,085 titik panas dikesan secara keseluruhan di seluruh republik berkenaan.
Krisis kebakaran hutan dan tanah di Indonesia pada tahun ini direkodkan sebagai yang terburuk dalam tempoh 11 tahun.
Situasi itu semakin kritikal apabila didorong oleh keadaan cuaca panas dan kering melampau yang dikaitkan dengan fenomena El Nino.- MalayaDailyToday






















































