BINTULU – Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, menggerakkan dua buah bot dari Sibu bagi membantu menyalurkan bekalan ke kawasan terjejas banjir di sekitar Bintulu.
Beliau berkata langkah itu diambil bagi memastikan bantuan dapat dihantar dengan lebih lancar susulan beberapa laluan darat terputus akibat kenaikan paras air.
“Dalam apa jua keadaan, keselamatan dan keperluan penduduk mesti diutamakan. Kami akan terus bersiap sedia memantau perkembangan semasa dan bertindak segera jika perlu,” katanya.
Pasukan beliau hari ini turut ke Ulu Sebauh bagi menziarahi tiga rumah panjang iaitu Rh Saging, Rh Dato Raymond dan Rh Singer untuk menilai situasi sebenar serta memastikan komunikasi berterusan dengan penduduk.

Menurut Tiong, sebanyak 45 set barangan bantuan berjaya disalurkan ke Rumah Saging, manakala 37 set lagi diagihkan kepada penduduk Rumah Sta Anak Liban yang turut terjejas akibat banjir.
Katanya, berikutan laluan darat tidak dapat dilalui, bantuan terpaksa dihantar menggunakan bot bagi memastikan bekalan sampai ke rumah panjang terlibat.
“Antara barangan keperluan asas yang disampaikan termasuk beras, telur, minyak masak, mi dan makanan dalam tin bagi meringankan beban penduduk pada peringkat ini,” katanya.

Beliau berkata ketika perjalanan masuk ke kawasan tersebut menggunakan bot, hujan masih turun dan arus sungai agak deras, namun paras air menunjukkan tanda-tanda penurunan.
Tiong turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dalam tempoh cuaca tidak menentu ini serta mematuhi nasihat keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.


“Kami akan terus berhubung dengan penduduk setempat untuk memahami keperluan sebenar dan menyalurkan bantuan tambahan sekiranya diperlukan,” katanya.
Beliau menegaskan komitmen untuk memastikan tiada komuniti di Bintulu yang terpinggir dalam situasi bencana dan bantuan akan diteruskan mengikut keperluan semasa. -MalayaDailyToday


































































