KUALA LUMPUR – Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) yang dinyahklasifikasikan mendedahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pendedahan itu susulan perkongsian beberapa muka surat dokumen minit mesyuarat berkenaan oleh bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua menerusi akaun Facebook beliau yang antara lain merekodkan pendirian tegas Peguam Negara berhubung isu tersebut.
Bernama melaporkan menurut minit berkenaan, Mohd. Dusuki berpendapat bekas Perdana Menteri itu perlu menjalani hukuman penjara sehingga 2028 sebagaimana pandangan sebelum ini.
“Hukuman tahanan rumah tidak terdapat dalam undang-undang dan merupakan suatu perkara yang asing serta bukan dalam sistem negara kita sebagaimana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke sebelum ini,” menurut minit berkenaan.
Beliau turut menyatakan bahawa keputusan tersebut akan memberi kesan kepada kerajaan khususnya membabitkan kestabilan politik, ekonomi, pelaburan serta imej negara di peringkat antarabangsa.
Dalam minit mesyuarat sama, Hannah menyatakan pandangan beliau selari dengan pendirian Mohd. Dusuki dan sebagaimana yang dikemukakan dalam mesyuarat terdahulu.
Mohd. Dusuki dan Hannah juga tidak mengemukakan sebarang ulasan terhadap draf Perintah Pengampunan Bersyarat serta syarat-syarat dicadangkan memandangkan kedua-duanya tidak bersetuju dengan pengampunan bersyarat berkenaan.
Bagaimanapun, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bersetuju dengan syarat-syarat tersebut tanpa sebarang ulasan.
Pada 10 November lalu, Najib mula menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah di kediamannya di Langgak Duta selepas melunaskan bayaran denda RM50 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November.
Pembayaran itu merupakan antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028.
Perkara berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara.
Najib sebelum ini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 berhubung sabitan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.-MalayaDailyToday
























































