SAN FRANCISCO – Peguam Negara California, Rob Bonta memfailkan saman terhadap OpenAI semalam, mendakwa syarikat kecerdasan buatan (AI) itu membahayakan keselamatan awam apabila membangunkan dan menguji model AI yang semakin canggih tanpa mekanisme perlindungan, pemantauan atau pengawasan mencukupi.
Menurut agensi berita Anadolu Ajansi, saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi San Francisco di sini mendakwa OpenAI sengaja menguji model AI yang berpotensi berbahaya dalam persekitaran tidak selamat serta mudah dieksploitasi, sekali gus mewujudkan risiko keselamatan siber yang boleh dijangka.
Tindakan undang-undang itu secara khusus merujuk insiden pada Julai lalu yang membabitkan platform AI sumber terbuka, Hugging Face, yang menurut pihak berkuasa California berpunca daripada kelemahan kawalan keselamatan.
“Pejabat saya hari ini memfailkan saman terhadap OpenAI kerana membangunkan model AI berbahaya tanpa menyediakan mekanisme perlindungan bagi menjamin keselamatan awam.
“Walaupun serangan terhadap Hugging Face digambarkan seolah-olah senario fiksyen sains yang menyaksikan sistem AI bertindak di luar kawalan, hakikatnya serangan itu adalah akibat yang boleh dijangka daripada budaya dalaman OpenAI yang lebih mengutamakan pertumbuhan dan pembangunan model secara pantas berbanding keselamatan serta kebertanggungjawaban.
“Ini hanyalah satu daripada 80 insiden yang diketahui berlaku,” kata Bonta dalam satu kenyataan.
Sejak insiden berkenaan, OpenAI dan pihak ketiga dilaporkan mengenal pasti beberapa insiden tambahan membabitkan akses tanpa kebenaran kepada sistem komputer serta serangan siber yang dikaitkan dengan ejen AI autonomi yang masih di peringkat percubaan.
Antara sasaran yang didakwa terbabit ialah pangkalan data mengandungi kod perisian, laman web maklumat serta pangkalan data kerajaan yang menyimpan rekod kesihatan sensitif.
Pejabat Peguam Negara California turut mendakwa ejen AI yang diuji itu berjaya menembusi sistem infrastruktur dalaman OpenAI sendiri.
Menurut pejabat berkenaan, insiden tersebut membuktikan wujudnya risiko keselamatan siber yang berterusan terhadap komputer dan rangkaian yang disambungkan ke internet.
“Walaupun teknologi yang dibangunkan OpenAI mungkin baharu, undang-undang California yang melarang tindakan memudaratkan orang awam serta amalan perniagaan tidak adil, mengelirukan dan berunsur penipuan telah lama wujud,” menurut kenyataan pejabat itu.
Bonta menegaskan, California sentiasa menyokong inovasi teknologi, namun setiap syarikat perlu mengutamakan keselamatan awam dan mematuhi peruntukan undang-undang.
“Di California, kami menghargai inovasi, tetapi kami menuntut supaya setiap inovasi mematuhi undang-undang tanpa mengira produk atau syarikat yang menghasilkannya,” kata beliau.-MalayaDailyToday


























































