KUCHING – Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di Kuching, hari ini atas tiga pertuduhan termasuk sengaja menyebabkan kecederaan terhadap gurunya menggunakan sebilah kapak serta memiliki bahan letupan tanpa alasan yang sah.
Tiada pengakuan direkodkan daripada remaja berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.
Media melaporkan mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Sentosa bagi menjalani penilaian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah selain menetapkan 17 Disember depan untuk sebutan semula pengurusan kes.
Mengikut pertuduhan, kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah antarabangsa di Jalan Kuching-Samarahan kira-kira pukul 7.50 pagi pada 21 Oktober lalu.
Bagi pertuduhan pertama, remaja itu didakwa membawa sebilah kapak kecil sebagai senjata berbahaya mengikut Seksyen 7 Jadual Kedua Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun di bawah Seksyen 7(1)(a) akta sama, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap gurunya berusia 42 tahun menggunakan kapak kecil mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Untuk pertuduhan ketiga, pelajar terbabit didakwa memiliki bahan letupan iaitu mercun dan bekas minuman yang diubah suai mengandungi bahan letupan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah bukan untuk tujuan yang sah.
Pertuduhan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sarawak, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif dan Abdurrahman Abrar Jarni, manakala remaja itu diwakili peguam Wejok Tomik.
Terdahulu, media melaporkan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Saifullizan Ishak memaklumkan polis telah merakam percakapan 38 saksi terdiri daripada pelajar, guru, pengawal keselamatan, pakar perubatan dan ibu bapa pelajar bagi membantu siasatan kes berkenaan.-MalayaDailyToday


























































