MELAKA – Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi jaminan pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka baharu akan diperhalusi dengan mengambil kira kemampuan dan keupayaan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memikul tanggungjawab yang bakal diamanahkan.
Media melaporkan beliau berkata, barisan Exco baharu itu juga akan menampilkan kesemua wakil daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk pentadbiran yang inklusif.
Beliau berkata demikian ketika menyuarakan keperluan membentuk pasukan mempunyai daya saing serta pemikiran kreatif bagi bersama-sama memajukan negeri ini ke satu tahap yang lebih baik.
“Pastinya akan diwakili semua parti dalam barisan Exco baharu ini yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat dan pengamal media akan dipanggil untuk diberi makluman mengenai pelantikan berkenaan.
“Saya akan membentuk satu pasukan kerja terbaik untuk bersama-sama memajukan Melaka dengan disokong semua agensi serta penjawat awam bagi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat,” katanya kepada pemberita di Pejabat Ketua Menteri Melaka, Seri Negeri di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengimbas kad perakam waktu bagi memulakan hari pertama tugasan rasmi sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 dan ketibaannya disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh.
Ab Rauf berkata, pasukan berkenaan akan mendengar setiap suara, cadangan, pandangan atau keluh-kesah rakyat sama ada dari aspek pentadbiran, kemasyarakatan mahupun keperluan semasa serta mengambil tindakan sewajarnya untuk dijadikan dasar kerajaan negeri bagi penambahbaikan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan mula melaksanakan 113 inisiatif di bawah enam teras manifesto yang ditawarkan BN dan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 dalam tempoh 100 hari pertama selepas barisan Exco berkenaan dilantik.
Beliau berkata, manifesto itu juga akan menjadi garis panduan kepada setiap Exco kerajaan negeri bagi memastikan segala janji kepada rakyat dapat ditunaikan mengikut jadual ditetapkan.
Beliau turut meminta penjawat awam di negeri ini membantu pelaksanaan setiap inisiatif manifesto yang dirangka itu bagi memastikan segala perancangan dan dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan serta disampaikan kepada rakyat secara menyeluruh.
Sabtu lalu, gabungan BN-PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN Melaka Ke-16.-MalayaDailyToday

























































