SHAH ALAM – Penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir di tiga daerah di Selangor membabitkan Sepang, Kuala Langat dan Gombak diminta berwaspada susulan amaran kemungkinan banjir bermula petang ini hingga Sabtu ini.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) menerusi kenyataan memaklumkan, amaran itu dikeluarkan berdasarkan analisis data hidrologi serta model ramalan banjir agensi berkenaan.
Menurutnya, banjir berkemungkinan berlaku di kawasan dalam lingkungan lima kilometer sekitar lembangan sungai di ketiga-tiga daerah tersebut.
“Banjir dijangka bermula pada pukul 4 petang hari ini sehingga 11.59 malam, Sabtu ini,” menurut kenyataan itu.
Di Sepang, kawasan berisiko membabitkan Kampung Sri Tanjung, Kampung Orang Asli Sungai Melut dan persimpangan FT29/FT32.
Bagi Kuala Langat, kawasan yang dijangka terjejas ialah Jalan Perepat, Taman Dato’ Hormat, Kampung Sri Cheeding, Jalan Bukit Kecil serta Jalan Desa 6 Kemandol.
Sementara itu, di Gombak, kawasan berisiko termasuk Kampung Cempedak, Kuang, Pekan Rawang, Jalan Maxwell dan Taman Rahmat Jaya.
PRABN turut mengingatkan bahawa kejadian banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tempoh dijangkakan.
Sehubungan itu, penduduk terutama di lokasi berisiko diminta sentiasa peka dengan keadaan semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana.
Untuk maklumat terkini, orang ramai boleh melayari laman sesawang Public InfoBanjir di https://publicinfobanjir.water.gov.my/ atau aplikasi MyPublicInfoBanjir.-MalayaDailyToday

























































