KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar meluahkan rasa sedih dan empati mendalam terhadap pemergian tragis adik Zara, yang menurutnya telah menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.
“Dua minggu lepas, saya terbang ke Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur untuk bertemu ibu Zara. Namun ketika itu, beliau masih belum bersedia untuk berjumpa.
Saya tidak memaksa, tetapi hari ini saya bersyukur diberi ruang untuk menyampaikan takziah secara bersemuka,” katanya dalam Facebook beliau.
Sebagai seorang ibu, Nurul Izzah berkata beliau dapat merasai kesedihan yang begitu mendalam dialami keluarga Zara.
“Ibu mana yang tidak luluh melihat anak pergi tanpa kembali. Beliau hanya mahu melihat Zara membesar seperti biasa sihat, ceria, dan disayangi,” luah anak Perdana Menteri itu penuh emosi.
Menurutnya, Zara bukan sahaja anak kepada keluarganya, tetapi dirasakan seperti anak kepada semua.
“Peribadinya sopan, akhlaknya mulia, dan berpegang teguh pada ajaran agama. Pemergiannya telah menyatukan kita semua, merentasi sempadan dan perbezaan,” katanya lagi.
Nurul Izzah yang juga Timbalan Presiden Keadilan menegaskan bahawa beliau tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan sehingga pihak yang bertanggungjawab menerima hukuman setimpal, selain memastikan persekitaran yang selamat untuk semua anak di negara ini.
“Kita akan terus memantau perkembangan terkini melalui pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan Jabatan Peguam Negara.
“Setiap anak berhak membesar dalam suasana yang bebas daripada ketakutan dan ancaman. Ini adalah tanggungjawab kita bersama,” tegasnya.
Beliau menyeru seluruh rakyat untuk terus berdoa, berusaha, dan bertawakal agar keadilan ditegakkan serta tragedi seperti ini tidak berulang lagi.
“Moga roh anakanda Zara ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya. -MalayaDailyToday