July 17, 2024
#BERITA #MAHKAMAH / JENAYAH

Adik Zayn Rayyan dalam jagaan JKM Selangor

KUALA LUMPUR – Adik kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin yang dibunuh tahun lalu kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Media melaporkan JKM Selangor datang ke rumah keluarga ibu bapa Zayn di Puncak Bestari sebelum kanak-kanak lelaki itu dibawa ke sebuah hospital untuk pemeriksaan.

Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim malam tadi mengesahkan perkara itu.

Beliau mendedahkan wujudnya keperluan untuk JKM mengambil kanak-kanak terbabit.

“Kita bawa kanak-kanak itu ke hospital untuk tujuan pemeriksaan dahulu. Selesai laporan nanti baru kita tentukan macam mana tindakan akan diambil,” katanya.

Semalam ibu dan bapa kepada Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan ke atas kanak-kanak itu, tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday