BANGKOK – Hujan lebat berterusan mencetuskan banjir kilat dan kejadian tanah runtuh di pulau peranginan popular Thailand, Phuket, dengan kawasan tumpuan pelancong Bandar Patong antara yang paling teruk terjejas, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Malah, pihak berkuasa cuaca meramalkan lebih banyak cuaca buruk menjelang penghujung musim tengkujuh di negara Asia Tenggara itu.
Bangkok Post melaporkan dengan memetik pihak berkuasa memaklumkan banjir membawa batu, lumpur dan sisa runtuhan dari lereng bukit ke kawasan perumahan serta lokasi pusat perniagaan, selain merosakkan rumah, kedai dan kenderaan,
Daerah Kathu yang merangkumi Patong mengalami kerosakan teruk berikutan laluan utama terhalang sisa runtuhan dan batu besar, manakala larangan memandu dikuatkuasakan di beberapa lokasi terjejas.
Pasukan kecemasan berserta jentolak dan jentera berat lain telah dikerahkan ke lokasi bagi membersihkan laluan serta memulihkan saluran perparitan, selain pentadbiran Bandar Patong turut mendirikan pusat perlindungan kecemasan.
Jabatan Meteorologi Thailand memberi amaran bahawa hujan lebat dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga Rabu, sebelum musim tengkujuh di sebahagian besar negara itu berakhir.
Kejadian di Phuket ini menyusuli siri bencana banjir buruk di Bangkok pada akhir bulan lalu yang menyaksikan pengisytiharan darurat di kesemua 50 daerah dan menjejaskan kira-kira 2.6 juta penduduk di seluruh negara.
Pihak berkuasa pencegahan bencana mengesahkan beberapa wilayah lain di selatan Thailand turut melaporkan kejadian banjir berikutan cuaca ekstrem terbaharu ini.-MalayaDailyToday





















































